Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia tidak berdepan sebarang masalah untuk mara ke suku akhir Arctic Open 2024.
Zii Jia berjaya mara dengan menyingkirkan pemain nombor lima Jepun, Yushi Tanaka dalam aksi pusingan kedua. Selepas menewaskan Christo Popov pada 9 Oktober lalu, bekas juara All England 2021 itu mahu meneruskan momentum kemenangan.
Meskipun begitu, Zii Jia berdepan cabaran Tanaka yang juga pemain yang menduduki ranking ke-30 dunia. Anak jati Kumamoto itu berjaya menyingkirkan wakil China, Lei Lan Xi di pusingan pertama kejohanan.
Set pertama menyaksikan Tanaka berdepan kesukaran menyekat pukulan pantas dan kuat yang digunakan Zii Jia. Ini menyebabkan anak jati Alor Setar, Kedah itu mendahului pada kedudukan 11-5.
Jurang mata yang dimiliki Zii Jia terus dipertahankan sebelum meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-11.
Set kedua menyaksikan Tanaka cuba menyekat dominasi juara Thailand Open 2024 itu. Pada satu ketika, juara Denmark Challenge itu mendahului pada kedudukan 11-10.
Zii Jia kemudiannya berjaya mengejar sebelum mendahului pada kedudukan 16-13. Kedudukan itu terus dipertahankan sebelum beliau memenangi set kedua dengan keputusan 21-18.
Zii Jia bakal berhadapan sama ada wakil China, Lu Guang Zu atau wakil Jepun, Koki Watanabe di peringkat suku akhir.
Seandainya Watanabe berjaya menewaskan Guang Zu dalam satu lagi aksi pusingan kedua, ini peluang buat juara Australian Open 2024 itu membalas dendam terhadap pemain Jepun itu.
Ini selepas pemain yang menduduki ranking ke-14 dunia itu menyingkirkan Zii Jia di pusingan pertama China Open 2024.
Zii Jia mengiringi kemaraan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin. Pang Ron-Su Yin mara selepas menyingkirkan pilihan keenam dari Taiwan, Yang Po-Hsuan dan Hu Ling Fang dengan keputusan 21-19, 21-12.