Pengurus TKKR Racing Team, Arie Sham tampil memberi penjelasan berkaitan keputusan TKKR Racing Team menarik diri dari saingan Asian Road Racing Championship (ARRC) 2024.
Beliau yang ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, berkata bahawa pihak beliau sudah berusaha sehabis baik membantu untuk memastikan TKKR Racing Team terus kekal bertanding di peringkat terbaik.
“Tapi kasihanlah sebab mereka ini sudah lama bersama dengan TKKR. Disebabkan DNA kita dalam XOX untuk membina sesuatu, kita sentiasa membina daripada apa yang tiada. Benda ini dengan XOX banyak membantu perjalanan perniagaan kita. Itu sebab kita berusaha (untuk terus kekal dalam ARRC),” katanya kepada Astro Arena.
“Malangnya, tahun ini kita sudah terlibat dengan bola sepak. Dan sudah tentu itu akan bagi impak kepada apa yang kita usahakan sekarang. Dan sepatutnya TKKR sudah tidak perlukan bantuan XOX lagi,” katanya yang juga CEO Perak FC.
Beliau turut memberi bayangan bahawa TKKR Racing Team bakal kembali beraksi di litar pada tahun depan dan mungkin akan berehat seketika bagi musim ini.
“Kita semua tahu TKKR ini (miliki sifat) pejuang. Semua orang dalam (dunia) permotoran pun tahu kita ini pejuang. Kita tarik diri dari Kejuaraan Dunia dan kita kembali ke Asia sebagai juara”
“Mungkin untuk tahun ini, kita tak berlumba di Asia tetapi untuk tahun 2025, kita berusaha untuk kembali. Sebab (nak dapat) kejuaraan di Asia bukan sesuatu yang senang untuk dapat.”
Tambahnya lagi, beliau berbangga dengan kejayaan TKKR Racing Team yang cemerlang menakluk Asia musim sebelum ini meskipun bersaing dengan pasukan-pasukan hebat yang disokong oleh kilang pengeluar barangan motosikal ketika itu.
“Untuk pengetahuan orang di Malaysia, kita menentang pasukan kilang dari Jepun, pasukan kilang dari Thailand, pasukan kilang dari Indonesia, ada juga pasukan kilang Honda dan Yamaha. Tetapi kita sebuah syarikat telco dan tidak mendapat sokongan daripada mana-mana kilang tapi kita berjaya tewaskan mereka semua”
Sebelum ini, terdapat khabar angin berkaitan penarikan diri TKKR Racing Team dari saingan Asian Road Racing Championship (ARRC) musim ini.
Malah, ada peminat yang melaga-lagakan dengan kehadiran pasukan baharu, JDT Racing Team menjadi sebab penarikan diri pasukan itu.