Arif Aiman Kembali ‘Mengaum’

arif aiman hanapi 2 Arif Aiman Kembali 'Mengaum'
Johor Southern Tigers
Azri Haziq @azrihazq
11:32pm 13/09/2023

Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kembali menyinar sekembalinya beliau di kancah Liga-M dalam saingan Piala Malaysia 2023.

Diberi kepercayaan pengendali JDT, Esteban Solari untuk turun dalam kesebelasan utama pasukan menentang Negeri Sembilan, Arif menggalas tanggungjawab dengan cukup baik apabila tenang melancarkan serangan daripada sebelah sayap kanan.

Turun bergandingan bersama Bergson dan Heberty Fernandes, gandingan tiga serangkai ini berjaya membawa JDT melakar kemenangan bergaya dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2023.

Selain berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Negeri Sembilan, Arif turut mencatat nama sebagai penjaring apabila pemain berusia 21 tahun ini menjaringkan gol pembukaan di Stadium Paroi.

Pada minit ke-20 permainan, Arif melepaskan satu rembatan kencang ke gawang Negeri Sembilan selepas menerima hantaran pendek daripada Heberty Fernandes.

Percubaan cantik Arif tersebut gagal diselamatkan penjaga gawang Negeri Sembilan, Firdaus Irman sekaligus mengesahkan jaringan pertama buat JDT.

Kemenangan 3-0 JDT keatas Negeri Sembilan di Stadium Paroi malam ini bakal menjadi bekalan selesa buat kem Harimau Selatan yang bakal melayan kunjungan Negeri Sembilan untuk aksi suku akhir kedua kelak.

Fokus JDT bagaimanapun kini terus tertumpu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). Aksi pertama JDT di pentas ACL musim ini telah dijadualkan menentang Kawasaki Frontale pada Selasa depan, 19 September di Stadium Sultan Ibrahim.

Konsistensi kemenangan anak buah Esteban Solari semestinya menjadi pembakar semangat buat pasukan.

Prestasi semasa yang ditampilkan Arif Aiman juga dilihat sebagai penambah nilai buat rangkaian serangan JDT. Kebijaksanaan pemain paling bernilai (MVP) ini pastinya akan terus ditagih di pentas ACL kelak.