Pemain sensasi Indonesia, Asnawi Mangkualam semakin menjadi-jadi di Korea Selatan apabila berjaya meledak gol kedua peribadinya bersama pasukannya, Ansan Greeners yang beraksi dalam saingan Liga 2 Korea.
Dalam perlawanan menentang Jeonnam Dragons di tempat sendiri itu, Asnawi berjaya meledak pada minit ke-59. Gol tersebut juga merupakan gol pendahuluan buat Ansan Greeners yang memenangi perlawanan dengan keputusan 3-0.
Gol Asnawi terhasil melalui gerakan dari sayap kanan sebelum beliau memperdaya pertahanan lawan sebelum merembat deras untuk kedudukan menjadi 1-0 memihak Ansan. Dua lagi gol Ansan dijaringkan oleh pemain import, Thiago Henrique pada minit ke-68 dan minit ke-72.
Kemenangan selesa 3-0 ini membolehkan Ansan memperbaiki kedudukan liga. Mereka kini berada di kedudukan ke-8 carta liga. Selepas ini, mereka akan turun menentang pasukan yang berada di kedudukan ke-9 liga iaitu, Seoul E-Land yang dijadualkan pada 6 Ogos depan.
Asnawi merupakan pemain utama pasukan Ansan Greeners untuk musim ini. Beliau mengumpul 966 minit permainan bersama Ansan dalam saingan liga musim ini dan sudah meledak 2 gol.