Atlet olahraga negara, Wan Fazri Wan Zahari dan srikandi taekwondo negara, Nur Humaira Karim masing-masing dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Malaya 2023.
Kedua-duanya menerima anugerah tersebut dalam Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya 2023 yang berlangsung di Auditorium Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya semalam.
Nur Humaira mengharumkan nama Malaysia apabila mengungguli acara taekwondo untuk kategori poomsae individu wanita di Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Temasya sama turut menyaksikan Nur Humaira membantu pasukan taekwondo wanita meraih pingat perak untuk acara berpasukan wanita.
Sementara Wan Fazri pula menunjukkan prestasi bagus dengan meraih pingat gangsa untuk acara lari pecut 800 meter di Sukan SEA 2023.
Meskipun temasya tersebut merupakan penampilan pertamanya di Sukan SEA, beliau menunjukkan keupayaan bersaing di temasya berkenaan.
Sementara itu, tiga legenda sukan negara yang berstatus alumni Universiti Malaya mendapat Anugerah Sepanjang Hayat.
Tiga legenda tersebut ialah legenda hoki negara, Dato’ Mirnawan Nawawi, legenda kriket Malaysia, Suresh Navaratnam dan bekas ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli.