Sabah perlu melepasi cabaran juara Indian Women’s League (IWL), East Bengal FC jika ingin mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) musim 2026/27.
Ini selepas cabutan undi peringkat kelayakan AWCL yang diadakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini. Sabah berada dalam Kumpulan A bersama East Bengal FC.
Selain mereka, wakil Guam, Rovers FC dan kelab Bangladesh, Rajshahi Stars FC turut memberi cabaran dalam kumpulan sama.
East Bengal dilihat bukan calang-calang kerana mereka bukan saja juara IWL dua musim berturut-turut. Malah, anak buah Anthony Andrews juga merupakan juara SAFF Women’s Club Championship.
Sabah yang dibimbing Bobby Gonzales bakal membuka kempen kumpulan dengan Rovers pada 17 Ogos. Ini disusuli aksi menentang Rajshahi Stars pada 20 Ogos.
Sabah akan menutup kempen kumpulan dengan menentang East Bengal pada 23 Ogos. Juara setiap kumpulan kelayakan akan mengesahkan kemaraan ke peringkat kumpulan.
Sabah layak ke saingan AWCL selaku juara Liga Wanita Nasional (LWN) musim lalu. Pasukan itu turut diperkuatkan dengan empat tonggak import termasuk pemain import Jepun, Ayuri Terawaki dan pemain Korea Selatan, An Se-bin.