AWCL: Sabah ‘Ratah’ Rovers 13-0
MakanBola
AFC

Pasukan bola sepak wanita Sabah FA membuka kempen kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) musim 2026/27 dengan kemenangan besar 13-0 ke atas kelab Rovers FC.

Selepas kelab India, East Bengal menewaskan Rajshahi Stars FC 4-0, anak buah Bobby Gonzales sedar mereka perlu meraih kemenangan besar dalam aksi pertama Kumpulan A.

Situasi ini mendorong Bobby menurunkan barisan terkuat untuk meraih kemenangan di Stadium Likas. Enzi Broussard, Delainey Varela-Kein dan Mai-Lisa Atis menjadi sandaran gol tuan rumah.

Sabah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi pemain tengah Jepun, Ayuri Terawaki. Atis menggandakan kelebihan tuan rumah 13 minit selepas itu.

Palang beberapa kali menjadi penyelamat buat Rovers yang berpangkalan di Guam. Pada akhirnya, Atis sekali lagi merobek gawang Rovers dengan percubaan susulan pada minit ke-34.

Broussard dan Atis memastikan Sabah mendahului Rovers 5-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, jurulatih Rovers, Dominic Gadia memasukkan dua penyerang gantian, Cadance Mansapit dan Mia Franquez. Malangnya, anak buah Bobby terus ghairah memburu gol.

Broussard mencipta hatrik dengan merekodkan dua gol pada minit ke-51 dan 58. Ini disusuli gol keempat beliau pada minit ke-62.

Atis dan Terawaki masing-masing mencetak gol pada minit ke-66 dan 70. Penyerang berdarah Haiti-Amerika Syarikat itu kemudiannya menambah satu lagi gol pada minit ke-80 sebelum disusuli gol An Se-bin pada minit ke-83.

Terawaki melengkapkan malam gemilang Sabah dengan meledakkan gol pada minit akhir perlawanan. Keputusan 13-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, Sabah akan turun menentang Rajshahi Stars pada 20 Ogos ini.