Dengan Sukan SEA bakal menjelang pada Mei ini, skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B-22) sudah bersedia untuk mengakhiri kemarau pingat emas untuk acara bola sepak. Dan itu menjadi sasaran bek kanan Terengganu, Azam Azmi Murad dan rakan-rakan sepasukannya.
Walaupun ada menganggap ini sebagai omong kosong, keyakinan Azam bersandarkan kepada pengalaman bersama skuad B-22 sebelum ini. Dalam Sukan SEA 2021 di Vietnam pada tahun lepas, skuad negara berjaya mara ke separuh akhir tetapi ditewaskan Vietnam yang muncul pemenang pingat emas.
Perlawanan penentuan pingat gangsa turut menyaksikan Harimau Malaya dikecewakan Indonesia menerusi sepakan penalti.
Justeru, Azam percaya kegagalan pada tahun lepas dilihat mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain-pemain B-22 lain untuk menebus kehampaan dan meraih ‘ibu segala pingat’ itu.
“Bagi saya, ini tahun terbaik untuk kami nak menang pingat emas di Sukan Sea. Ini tahun kedua saya bersama pasukan ini, tahun lalu pun kami berjaya layak ke separuh akhir,” katanya.
Azam turut menyifatkan latihan skuad B-22 tidak jauh beza dengan latihan skuad senior yang dibimbing Kim Pan-gon. Bek kanan berusia 22 tahun itu pernah dibimbing jurulatih Korea Selatan itu semasa kempen Piala AFF 2022.
“Bagi saya sama sahaja sebab skuad utama dan skuad B-22 taktikal sama sahaja kerana jurulatih juga dari barisan kejurulatihan skuad utama jadi dari segi taktikal dan latihan sama sahaja”, tambahnya.
Skuad B-22 memulakan persiapan untuk Sukan SEA 2023 dengan menyertai Piala Merlion yang bakal bermula esok. Selain Malaysia, tuan rumah Singapura, Kemboja dan Hong Kong turut mengambil bahagian.