Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz mengagumi semangat yang ditampilkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan MFL Challenge Cup baru-baru ini.
Kedah berentap dengan PDRM FC dalam aksi separuh akhir pertama pada 18 Januari lalu. Pada awalnya, The Cops mendahului 2-0 menerusi Bruno Suzuki dan Ifedayo Olusegun.
Kedah kemudiannya bangkit pada separuh masa kedua dan menyumbat tiga gol dalam tempoh 15 minit. Milos Gordic, Aiman Afif Md Afizul dan Akmal Zahir mencipta nama sebagai penjaring.
Eizrul Ashraf Nor Effendy memastikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 menerusi gol penyamaan buat PDRM.
Azmin cukup kagum dengan semangat juang yang dipamerkan Kedah sepanjang perlawanan itu. Ini kerana meskipun mereka berdepan pelbagai isu, mereka tetap menampilkan aksi berkualiti di atas padang.
“Semangat melawan (Kedah) itu bagus. Kebangkitan yang baik melawan PDRM tak kisahlah dalam piala apa pun tapi pemain Kedah mempamerkan permainan yang cukup positif.
“Nak main bola, kita pun tahu keadaan Kedah macam mana. Tapi pemain-pemain Kedah masih menunjukkan satu persembahan yang baik,” katanya semasa menjadi panel Nindia.
Komen Azmin Azram mirip dengan apa yang diperkatakan pengendali PDRM, P. Maniam selepas tamat perlawanan antara kedua-dua pasukan itu.
”Ini adalah perlawanan yang sengit dan menghiburkan, saya pasti penonton yang menyaksikan juga terhibur dengan aksi hari ini,” katanya.
”Saya amat menghormati Kedah, walaupun mereka dihimpit pelbagai masalah, akan tetapi mereka berjaya bangkit serta bermain dengan karakter dan membawa sikap positif dalam aksi ini.”
Kedah kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Super menentang Kuching City FC di Kuching pada 24 Januari ini.