Penjaga gol kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan serius.
Penjaga gol Sabah itu memaklumkan beliau mengalami kecederaan ACL dan meniskus. Hal ini dikongsikan Azurin dalam satu hantaran di Instagram.
“Imbasan MRI mengesahkan (kecederaan) ACL koyak dengan meniskus. Babak seterusnya: (proses) pemulihan,” katanya.
Azurin mengalami kecederaan itu ketika aksi terakhir Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 menentang Selangor FC pada 28 Disember lalu.
Kecederaan itu memaksa Sabah memasukkan Asma Junaidi sebagai pengganti beliau pada minit akhir perlawanan.
Selepas Azurin berkongsi berita berkenaan, ramai pihak mendoakan agar beliau cepat sembuh. Antara yang berbuat demikian ialah jurulatih penjaga gol Malaysia B-23, Kris Yong Wai Hwang dan kapten Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur.
Selain itu, pemain-pemain Sabah FC turut mendoakan Azurin pulih daripada kecederaan tersebut.
Antaranya Miguel Cifuentes, bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan penjaga gol utama Sabah, Damien Lim.
Azurin menjadi sebahagian daripada tonggak Sabah yang membantu pasukan itu muncul juara LWN musim 2025.
Kejayaan ini melayakkan Sabah sebagai wakil Malaysia ke saingan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) musim hadapan.