Bekas ketua jurulatih Sarawak United, B. Sathianathan ada sisi berbeza melihat kepada pemilihan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkenaan senarai 27 orang pemain ke kem latihan kebangsaan Mac ini.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu membuat keputusan untuk memanggil semula 18 tonggak skuad kebangsaan sebelum ini sambil 8 muka baharu dilihat membentuk kombinasi yang cukup baik.
Malah, pemilihan tersebut dikejutkan dengan kehadiran dua tonggak naturalisasi negara, Endrick Dos Santos dan juga Paulo Josue selain tonggak kelahiran Finland, Nooa Laine turut berada dalam senarai tersebut.
“Saya menyokong pilihan yang dibuat Pan-gon kerana beliau sudah tentunya sudah nenilai kemampuan setiap pemain yang dipanggil kali ini.”
“Melihatkan senarai itu, saya anggap pemain yang disenaraikan adalah pemain yang menyerlah bersama pasukan dalam liga kita sekarang.”
“Josue misalnya, dia antara nadi utama KL City (Kuala Lumpur City FC), begitu juga dengan Endrick yang sudah meledak beberapa gol dengan JDT (Johor Darul Ta’zim). Malah, Daniel Ting juga yang pertama kali dipanggil adalah pemain yang bagus bersama Sabah FC sekarang,” jelasnya kepada Arena Metro.
Beliau juga melihat Pan-gon memiliki sentuhan tersendiri untuk membentuk gabungan mantap antara muka baharu dan lama bagi menghadapi saingan Turkmenistan dan juga Hong-Kong di Stadium Sultan Ibrahim.
Harimau Malaya berpeluang menambah sebanyak +5.27 mata ranking FIFA sekiranya dapat mengatasi Turkmenistan dalam aksi Persahabatan Tier 1 pada Khamis depan sementara +4.9 mata juga bakal diperoleh Malaysia jika berjaya menewaskan Hong Kong pada 28 Mac.