Baihakki Khaizan: Pernah Tinggal & Kerja Di Malaysia, Alhamdulillah Ok
MakanBola
FA Singapore

Bekas pertahanan JDT dari Singapura, Baihakki Khaizan menjawab persoalan dilontarkan oleh seorang Doktor ‘lawak’ di Twitter.

Beliau menjelaskan beliau berpuas hati semasa bekerja di Malaysia sebagai seorang pemain bola sepak walaupun beliau orang Singapura.

“Pernah tinggal dan kerja di Malaysia.. Alhamdulillah ok je, tiada masalah. Kawan-kawan pun ramai dari berbilang kaum, makanan semua best best,” tulis Baihakki di Twitternya.

Ciapan ini tercetus selepas seorang pengguna Twitter dipercayai seorang doktor, Dr Jason Leong mempersoalkan sekiranya terdapat orang Melayu Singapura ingin berpindah ke Malaysia.

Hantarannya itu dipercayai untuk mencetuskan perdebatan berkaitan politik dan ianya agak kurang digemari sebilangan pengguna Twitter.

“Tak pernah aku jumpa seorang pun Melayu warganegara Singapura nak berhijrah ke Malaysia,” tulis Dr Jason di Twitter.

Hantarannya itu menarik perhatian penulis sukan @marconegeri yang bertanya kepada Baihakki untuk memberikan pendapat dan maklum balas diterima pemain Singapura tersebut adalah positif.

Baihakki Khaizan sebelum ini menjadi watak penting JDT kental mempertahankan kubu Harimau Selatan sejak menyertai JDT pada musim 2014 sebelum meninggalkan Malaysia pada tahun 2016 menyertai Warriors FC setahun kemudian.

Beliau kini merupakan Ketua Projek Khas dan duta Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) mengetuai projek-projek yang boleh manaikkan taraf bola sepak Singapura.