Advertisement
Bajet Bukan Penghalang Era Baharu Kelantan Red Warrior
Liga Super
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Belanjawan yang bersifat sederhana bukan penghalang buat Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dalam mengorak era baru.

Perkara ini dizahirkan kelab itu sebagai sebahagian daripada enam objektif mereka untuk maju dalam arena bola sepak Malaysia.

Ini kerana KRW FC percaya dengan perancangan yang bersifat jangka panjang dan pengurusan strategik, mereka mampu mencipta impak positif dalam industri bola sepak negara.

“Dengan pengurusan yang strategik, kami percaya KRW FC boleh mencipta impak di sekeliling industri seiring sokongan dan semangat berkobar penyokong-penyokong Red Warrior,” kata kelab dalam satu kenyataan.

“Untuk membina pasukan yang kompetitif dan berdaya saing, ianya adalah perancangan jangka masa panjang. Kejayaan tidak datang hanya dengan duit, tetapi dengan dedikasi, perancangan yang teliti, dan penyokong yang sentiasa ada di sisi kami.”

Perkara ini turut disentuh Naib Presiden KRW, Ammar Azhar. Beliau menjadikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton sebagai model terbaik dengan bajet kecil.

“Sifir mudah bola sepak, dah tentu siapa belanja lebih, dialah juara. Tetapi melihat kepada senario bola sepak semasa, adalah lebih baik kami mengambil haluan untuk berbelanja secara sederhana.”

“Ini lebih praktikal dan lebih baik demi kelangsungan jangka masa panjang kelab ini. Jika Brighton boleh bersaing dengan bajet kecil, kenapa tidak kelab dari Pantai Timur ini,” katanya.

KRW telah menghantar permohonan untuk menyertai saingan Liga A1 Semi-Pro untuk musim 2025/26.