Kemenangan 4-2 Liverpool ke atas Newcastle United pada awal pagi semalam menyaksikan Mohamed Salah berjaya melepasi 150 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pencapaian itu diraih hasil ‘bantuan’ pemain sayap The Magpies, Anthony Gordon pada minit ke-86.
Liverpool berpeluang menambah gol keempat apabila Martin Dubravka didakwa menjatuhkan Diogo Jota dalam kotak penalti.
Penalti ini dianggap kontroversi kerana penyerang Sepanyol itu didakwa menjatuhkan diri dan hanya terkena sedikit tampanan tangan Dubravka.
Salah berpeluang mendapatkan gol tambahan selepas penalti beliau pada minit ke-23 berjaya dinafikan penjaga gol Slovakia itu.
Tatkala penyerang Mesir itu sudah bersedia mengambil penalti, Gordon memberi isyarat kepada rakan sepasukannya agar bergerak ke sebelah kanan.
Dubravka mengikut isyarat jari bekas penyerang Everton itu bergerak ke sebelah kanan. Ini memudahkan Salah menyepak ke sebelah kiri dan menyumbat gol ke-151 dalam EPL.
Walaupun detik itu hanya berlangsung sebentar, rakaman ‘bantuan’ Gordon itu tular di media sosial.
Sumbangan dua gol dan satu bantuan gol Salah menjadikannya sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.2 mata.
Selain Salah, Curtis Jones dan Cody Gakpo turut menyumbang gol dalam perlawanan sama. Keputusan ini memastikan Liverpool mendahului liga selepas separuh musim 2023-2024.