Khabar mendukacitakan buat seorang bekas pemain Liga Super apabila kini secara rasminya bakal menjalani hukuman penjara.
Menurut laporan Harian Metro, Beliau yang juga merupakan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Mohd Azinee Taib, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Pemain berusia 33 tahun itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan memiliki harta curi, pada Mei dan Julai lalu.
Tuduhan pilihan pertama menyaksikan Azinee didakwa menyimpan harta curi iaitu jam tangan berjenama milik Ker Zhi Zin, 17, dan beg tangan kepunyaan Ho Shin Fun, 50.
Ia dikesan berlaku pada dua lokasi iaitu jeti nelayan Ayer Baloi, Pontian dan Forest City Country Garden, Gelang Patah pada 4.30 petang, 3 Julai lalu.
Beliau seterusnya didakwa pada pertuduhan kedua disebabkan memiliki dompet dan beg tangan berjenama kepunyaan Toh Lai Siang, 53, yang diketahui hasil curi dan didakwa mengikut seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Azinee telah ditahan pada 3 Julai lalu selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Bakri Muar yang menyebabkan barangan berharga serta wang tunai RM10,000 hilang.
Sungguhpun pada awalnya,mahkamah memerintahkan hukuman penjara 28 bulan, semua hukuman dijalankan serentak bermula tarikh sabitan hari ini, sekaligus menyebabkan beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara 15 bulan.
Sepanjang karier beliau, Azinee telah beraksi bersama beberapa pasukan seperti JDT, Melaka dan Penang FC.