Sebelum ini, ramai peminat bola sepak terkejut bila mendengar bekas penyerang Liverpool, Craig Bellamy diisytihar muflis oleh HMRC (jabatan cukai dan kastam Britain). Kini, giliran bekas pemain pertahanan Manchester United, Wes Brown mengalami nasib sama.
Walaupun pada satu ketika menikmati gaji sekitar £50,000 (RM276,000) di Old Trafford, statusnya sebagai individu muflis telah disahkan oleh mahkamah pada 12 April lalu. Malah, maklumat status muflis Brown boleh dilihat dalam The Gazette (rekod rasmi awam Britain).
Brown, 43, membuat 362 penampilan bersama Red Devils dalam tempoh 15 tahun. Semasa tempohnya di Old Trafford, beliau meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak lima kali, The Emirates FA Cup (dua kali), Piala EFL (dua kali) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) (dua kali).
Brown juga pernah dipanggil menyertai skuad England tetapi hanya merekodkan 23 penampilan bersama Three Lions. Ini disebabkan persaingan sengit merebut slot bek tengah England di mana beliau perlu bersaing dengan pemain-pemain berstatus legenda seperti John Terry, Sol Campbell dan rakan sepasukannya di United, Rio Ferdinand.
Selain Manchester United, Brown juga pernah bermain untuk Sunderland, Blackburn Rovers dan kelab Liga Super India (ISL), Kerala Blasters. Selain diisytiharkan muflis, bekas pertahanan England itu turut berpisah dengan isterinya yang juga bintang realiti Real Housewives of Cheshire, Leanne beberapa tahun lepas.
Sebaik berita status muflis Brown diketahui, ramai peminat United di media sosial merasa sedih dengan apa yang berlaku. Ada juga berpandangan kisah sebegini bukan sesuatu yang baru tetapi mengharapkan ia menjadi pengajaran kepada pemain-pemain di luar sana bahawa perkara ini boleh saja menimpa mereka jika salah pertimbangan.