Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam tampil memberikan respon tegas terhadap cadangan sidang meja bulat yang dibawa oleh CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal berhubung isu kewangan Liga Malaysia.
Menurut Kevin, beliau tidak memahami kekeliruan yang timbul kerana platform untuk membincangkan isu-isu berkaitan sebenarnya sudah pun tersedia dalam struktur rasmi MFL.
“Saya tidak faham apa yang mengelirukan. Platform itu memang MFL. Pasukan-pasukan adalah pemiliknya dan perlembagaan membenarkan mereka membawa sebarang isu untuk dibincangkan,” tulisnya di laman X.
Beliau menegaskan bahawa kelab-kelab mempunyai ruang untuk bersuara melalui mesyuarat rasmi seperti mesyuarat lembaga dan kongres, yang sememangnya diwujudkan untuk tujuan tersebut.
“MFL adalah platform (bagi setiap) pasukan. Gunakan mesyuarat lembaga dan mesyuarat rakan kongsi (kongres),” tambahnya.
Dalam masa sama, Kevin turut menyindir sikap segelintir pihak yang dilihat lebih lantang bersuara di luar platform rasmi, namun tidak memanfaatkan ruang yang disediakan ketika mesyuarat sebenar berlangsung.
“Pertemuan tidak rasmi semua orang ada. Sembang kedai kopi, itulah namanya. Tetapi apabila anda benar-benar ada perkara penting untuk dibincangkan, gunakan perlembagaan. Ia memang ada untuk membantu anda.”
“Apa gunanya bercakap di khalayak ramai tetapi apabila hadir ke platform sebenar, anda hanya senyum, minum kopi, makan karipap dan pulang tanpa sebarang sumbangan. Hipokrit!” ujarnya lagi.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai respon langsung kepada cadangan Dr Johan yang sebelum ini mengusulkan sidang meja bulat bagi mencari solusi terhadap isu kewangan yang melanda Liga Malaysia, satu idea yang turut mendapat sokongan beberapa kelab.
Namun begitu, cadangan tersebut tidak diterima sepenuhnya apabila beberapa pihak termasukl Datuk Zainal Abidin Hassan yang tampil mengkritik idea berkenaan secara terbuka.
Isu ini sekali lagi membuka perdebatan mengenai keberkesanan saluran sedia ada dalam MFL serta sejauh mana kelab benar-benar menggunakan platform tersebut untuk menyuarakan pandangan demi kelangsungan Liga Malaysia.