Bekas jurulatih Selangor FC, Conor Nestor bakal menggalas tugas pertamanya di peringkat antarabangsa.
Ini selepas jurulatih Ireland berusia 41 tahun itu dilantik sebagai jurulatih skuad wanita Kemboja. Nama beliau diumumkan Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC).
“Conor Laurence Nestor merupakan jurulatih pasukan kebangsaan wanita Kemboja untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2026 yang akan berlangsung dari 29 Jun hingga 5 Julai 2025 di mana Kemboja akan menjadi tuan rumah Kumpulan G,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
Kemboja mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2026 sebagai tuan rumah Kumpulan G.
Turut sama berada dalam kumpulan tersebut ialah Arab Saudi, Hong Kong dan pasukan yang mara ke separuh akhir edisi 2022, Filipina.
Hanya juara setiap kumpulan saja yang layak beraksi di Australia. Australia merupakan tuan rumah untuk Piala Asia Wanita 2026.
Nestor cukup dikenali penyokong Selangor kerana pernah menjadi pembantu jurulatih dari April hingga Oktober 2024.
Selepas meninggalkan Selangor, beliau kini menggalas peranan sebagai jurulatih kelab Kemboja, Boeung Ket.