Jururunding undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid menegur reaksi seorang pemimpin Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terhadap draf pindaan statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikemukakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Sebelum ini, Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar menyuarakan rasa kurang puas hati terhadap cadangan menjadikan slot naib presiden kedua secara automatik diberi kepada Presiden Malaysian Football League (MFL).
Ini kerana pada hemat beliau, idea tersebut dilihat tidak mencerminkan semangat demokrasi. Justeru, Shahril berpandangan semua jawatan dalam FAM harus dipertandingkan termasuk tiga slot naib presiden.
Susulan itu, Zhafri menegur figura FAS itu. Ini kerana pada hemat beliau, sebarang isu yang timbul membabitkan draf pindaan statut seharusnya dibincangkan dalam Kongres Luar Biasa FAM dan bukan di media.
“Kalau betul tak setuju, esok dekat EGM (Kongres Luar Biasa FAM), itulah tempatnya nak bagi cadangan dan pandangan.
“Bukan hentam dulu, faham kemudian. Atau memang tak nak dengar langsung apa yang nak dibentangkan masa EGM itu nanti?” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Zhafri turut menjadikan isu pemansuhan jawatan Presiden Kehormat FAM sebagai contoh. Lantas, beliau melihat Kongres Luar Biasa FAM sebagai pentas terbaik untuk semua ahli gabungan berhujah dan menyuarakan pandangan mereka.
“Sebagai contoh, saranan untuk hapuskan jawatan presiden kehormat, AFC kata tiada dalam amalan FIFA. Tapi bila rujuk Artikel 21 Statut FIFA, bukan sahaja presiden.
“Malah ada jawatan lantikan naib presiden kehormat dan ahli kehormat pun ada dalam kerangka statut FIFA. Jadi, esoklah tempatnya untuk dihujahkan segala pandangan dan bantahan. Bukan pergi cari media,” tambahnya.
Kenyataan Zhafri dilihat selaras dengan kenyataan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John baru-baru ini. Sekiranya ada ahli gabungan FAM yang tidak bersetuju dengan pindaan statut yang dikemukakan, statut tersebut akan diundi bagi mendapatkan kelulusan.
Mereka juga harus menyuarakan pendapat dan cadangan alternatif bersama justifikasi berhubung statut yang dibantah. Ini kerana pada hemat Windsor, setiap pindaan statut yang dikemukakan AFC ada justifikasi tersendiri.
Kongres Luar Biasa FAM bakal berlangsung pada 4 Jun ini.