Pencapaian KL Rovers FC sebagai naib juara Liga M3 tidak akan berlaku tanpa sumbangan bekas pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Amer Saidin.
Amer, 31, merupakan penjaring terbanyak pasukan itu dengan 12 gol dalam Liga M3. Ini satu pencapaian yang luar biasa memandangkan posisi sebenar beliau ialah bek tengah.
Sementara dua penyerang Rovers iaitu Rafie Mat Yaacob dan Fahmi Mohd Sabri masing-masing menjaringkan sembilan dan lima gol.
Selain sumbangan gol, gandingan Amer dan Mohd Firdaus Mohd Faudzi memastikan kubu pertahanan KL Rovers kekal ampuh sepanjang kempen liga.
Di samping itu, beliau turut memanfaatkan pengalaman silamnya sebagai bekas pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Harimau Muda.
Pengalaman sebagai bekas pemenang Liga Super dan Piala AFC itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu KL Rovers kekal tenang sehingga tamat kempen Liga M3.
Dengan aksi playoff bakal menjelang tidak lama lagi, pengalamannya dijangka ditagih jurulatih Wan Mustaffa Wan Ismail untuk membantu KL Rovers meraih kemenangan.