Advertisements
Belanja Cecah RM33 Bilion, Malaysia Pertimbang Anjurkan Sukan Komanwel 2026
UltraSukan
UltraSukan
Olympics Malaysia

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal memutuskan tentang soal penganjuran Sukan Komanwel 2026.

Ini selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menyiapkan kertas kajian untuk semua aspek penganjuran kejohanan termasuk kos kewangan.

“Saya tidak boleh komen perkara ini (sama ada Malaysia berminat menjadi tuan rumah atau tidak).

“Kita akan serahkan semua hasil kajian kepada Jemaah Menteri untuk satu keputusan (yang dicapai). (Kita) kena tunggu dulu.

“Bukan sahaja kewangan, ada banyak faktor yang kena dilihat dan diteliti, jadi saya tidak boleh komen. (Kertas Kabinet tentang Sukan Komanwel 2026) sudah hampir siap,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Scoop.

Nasib Sukan Komanwel 2026 menjadi tanda tanya selepas negeri Victoria, Australia mengumumkan menarik diri sebagai tuan rumah temasya berkenaan pada Julai tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati kos penganjuran temasya meningkat dari A$2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada A$7 bilion (RM21.78 bilion).

Victoria juga terpaksa membayar A$380 juta sebagai denda kerana melanggar kontrak penganjuran temasya yang bakal berlangsung pada 17-29 Mac 2026.

Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia yang mendapat hak sebagai tuan rumah.