Bengkel Hala Tuju NFDP Gariskan 6 Fokus Utama
MakanBola
FA MALAYSIA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), telah menganjurkan Bengkel Hala Tuju NFDP 2026 di MSN, Bukit Jalil, hari ini.

Program ini menghimpunkan peserta daripada persatuan bola sepak negeri serta Jabatan Pendidikan negeri, dengan majlis pembukaannya disempurnakan oleh Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee.

Bengkel Hala Tuju NFDP 2026 mencerminkan komitmen bersama semua pihak dalam membina masa depan bola sepak Malaysia secara kolektif, berstruktur, dan mampan.

Fokus Hala Tuju NFDP yang pertama ialah menekankan kualiti pembangunan pemain berbanding kuantiti,di samping memperkasakan peranan persatuan bola sepak negeri sebagai rakan strategik utama FAM.

Pendekatan ini bertujuan memastikan pembangunan pemain dilaksanakan secara konsisten, relevan, dan mampan di setiap negeri. Selain itu, Fokus Hala Tuju NFDP ialah penstrukturan semula pusat latihan, penyelarasan kurikulum, pelantikan jurulatih oleh persatuan negeri, serta pemantauan berpusat oleh FAM, setiap negeri akan diperkasakan untuk membina persekitaran pembangunan yang berkualiti dan berkesan.

Fokus Hala Tuju NFDP yang keempat ialah Kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri turut dianggap sebagai elemen penting bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan akademik dan sukan, khususnya melalui penyertaan sekolah dalam pertandingan serta proses pengesanan bakat.

Selain itu, pembangunan jurulatih juga menjadi keutamaan dalam pembaharuan NFDP. FAM akan terus komited menyediakan latihan berterusan, program mentor-mentee, serta penyelarasan dengan piawaian AFC dan FIFA, bagi memastikan kualiti kejurulatihan yang tinggi dan selaras di seluruh negara.

Fokus Hala Tuju NFDP yang terakhir ialah memastikan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang, akan terus diperkasakan sebagai hab pembangunan elit negara, dengan fokus kepada pemilihan bakat terbaik, saiz skuad yang lebih berfokus, pendedahan kompetitif melalui Liga FAM, serta sokongan menyeluruh merangkumi pendidikan, kebajikan, dan sains sukan.

Sementara itu, penubuhan Liga Nasional FAM bagi kategori B-12, B-15, dan B-16 menjadi platform penting dalam menyediakan pertandingan yang konsisten dan kompetitif, serta laluan pembangunan ke peringkat pasukan kebangsaan B-16 dan B-17.

Hala tuju NFDP bukan milik FAM semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama demi memperkasakan bola sepak Malaysia.

Melalui kerjasama erat antara semua pihak dan komitmen berterusan, FAM, persatuan negeri, dan rakan strategik akan bergerak sebagai satu pasukan, satu ekosistem, dan satu hala tuju demi melahirkan generasi pemain yang berprestasi tinggi, berdisiplin, berilmu, dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Claim Money Packet TnG