Tiga jawatankuasa akan memantau tadbir urus Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Ini susulan pengesahan MSN dan FAM bahawa badan induk itu bertanggungjawab mengendalikan aspek teknikal NFDP.
Sebelum ini, beberapa pihak menggesa satu badan khas dibentuk untuk memantau NFDP bagi memastikan program tersebut mencapai matlamatnya.
Susulan itu, Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee memaklumkan beliau dan barisan kejurulatihan baru program tersebut sedia dipantau bagi menjamin aspek ketelusan.
MSN memaklumkan tiga jawatankuasa bertanggungjawab memantau NFDP. Pertama, Jawatankuasa Pemandu NFDP yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan.
Jawatankuasa Pemandu NFDP bukan saja badan tertinggi untuk program berkenaan. Malah, jawatankuasa ini bertanggungjawab menetapkan hala tuju strategik NFDP.
Kedua, Jawatankuasa Kerja NFDP yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah MSN. Jawatankuasa ini bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan dasar dan operasi program.
Ketiga, Jawatankuasa Teknikal NFDP yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM. Jawatankuasa ini memantau dan menilai aspek teknikal pembangunan pemain serta kejurulatihan.
Meskipun aspek teknikal NFDP dikendalikan oleh FAM, MSN kekal bertanggungjawab menguruskan aspek pengurusan program berkenaan.