Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sah mengendalikan aspek teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Ini selepas FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengeluarkan kenyataan berhubung peranan kedua-dua entiti itu untuk NFDP.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini secara rasmi mengurus sepenuhnya aspek teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), setelah Majlis Sukan Negara (MSN) menyerahkan tanggungjawab tersebut.
“Ia merupakan langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bola sepak negara, sekali gus menyediakan laluan jelas kepada pemain-pemain muda untuk mencapai potensi maksimum.
“Pengambilalihan ini melibatkan aspek teknikal sepenuhnya termasuk latihan atlet, pengurusan kejurulatihan serta penyertaan kejohanan di semua peringkat pelaksanaan NFDP, selaras dengan kepakaran FAM sebagai badan induk bola sepak negara,” kata FAM dalam satu kenyataan.
MSN pula akan terus mengendalikan aspek pengurusan NFDP. Ini termasuk aspek kewangan, pertandingan, kebajikan dan pendidikan atlet.
FAM percaya pembahagian peranan ini akan membantu memastikan pelaksanaan NFDP lebih efektif, profesional dan sejajar dengan standard pembangunan bola sepak antarabangsa.
FAM turut melihat perubahan ini akan membolehkan NFDP melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.