Berada Di Tangga Tercorot, Terengganu FC Tetap Sasar Satu Trofi Musim Ini

Terengganu FC 5 Berada Di Tangga Tercorot, Terengganu FC Tetap Sasar Satu Trofi Musim Ini
Terengganu FC
Ikuti Telegram MakanBola (3712)

Pihak kerajaan negeri Terengganu tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap pasukan Terengganu FC (TFC) walaupun pasukan itu menghuni tangga tercorot Liga Super selepas mengharungi dua perlawanan liga.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, prestasi yang ditunjukkan TFC untuk dua perlawanan terawal itu bukanlah aksi sebenar skuad itu.

Beliau melihat skuad TFC musim ini mempunyai lambakan pemain berkualiti tidak kira pemain tempatan mahupun pemain import dan TFC dianggap pencabar terkuat Liga Malaysia musim ini.

Katanya, pasukan TFC perlu bangkit segera dan konsisten memperbaiki kedudukan di dalam liga. Beliau menjangkakan TFC akan bangkit dalam perlawanan seterusnya menentang Sarawak United.

“Saya berpendapat ‘enjin, TFC belum panas lagi terutama baru bermain dua perlawanan di tempat lawan selepas tiga perlawanan awal ditunda kerana pemain lawan dijangkiti Covid-19.

“Walaupun ia permulaan tidak digemari semua termasuk peminat, saya yakin pemain akan bangkit dalam aksi seterusnya menentang Sarawak United FC pada 17 April ini kerana sasaran kita sekurang-kurangnya untuk merangkul satu trofi kejuaraan.

“Buat peminat, sokongan anda ditagih pemain, justeru sokonglah pasukan seperti biasa bagi menyuntik semangat pemain walaupun kini belum memiliki sebarang mata,” katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, TFC telah tewas dua perlawanan awal mereka kepada Petaling Jaya City FC (PJ CITY) dan baru-baru ini tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sekaligus meletakkan mereka sebagai satu-satunya pasukan yang gagal memungut sebarang mata.