Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan melabel mentaliti yang dimiliki Bergson da Silva sebagai luar biasa.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan 4-1 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia.
JDT hampir meraih gol pendahuluan pada separuh masa pertama selepas dianugerahkan sepakan penalti. Malangnya, sepakan penalti yang diambil Bergson mengenai palang sebelum melantun keluar.
Bergson kemudiannya meledakkan dua gol pada separuh masa kedua. Syahmi Safari dan Ajdin Mujagic memastikan JDT memiliki empat gol dalam perlawanan itu.
Giancarlo Gallifuoco menyumbat gol saguhati buat KL City menjadikan keputusan agregat 8-1 memihak kepada JDT pada akhir perlawanan.
Razman melihat kegagalan menyempurnakan penalti pada babak pertama langsung tidak menggugat penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu.
Sebaliknya, ia dilihat membakar semangat Bergson untuk terus gigih memburu gol dalam perlawanan tersebut.
“Saya boleh katakan bahawa Bergson ni seorang pemain yang sangat luar biasa. Sebab apa? Apabila dia tak sempurnakan satu peluang, dia akan sudahkan peluang seterusnya.
“Jadi, di situ kita boleh lihat kualiti ada pada Bergson yang dia tak patah semangat pun. Tapi dia mencuba dan peluang seterusnya yang dia dapat, dia sudahkan dengan jaringan,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Kemenangan agregat 8-1 membolehkan JDT menjadi pasukan pertama layak ke final Piala Malaysia. Mereka kini akan berdepan sama ada Selangor FC atau Kuching City FC di pentas final.