Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah sememangnya bersikap terbuka seandainya ada dikalangan pemain di bawah kendaliannya terpilih ke skuad kebangsaan.
Perkara tersebut diluahkan oleh Yusri sendiri ketika sidang media selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari.
“Para pemain yang ada pada hari ini, sebaiknya perlu menunjukkan sesuatu kerana pasukan bawah 23 tahun Malaysia pun ada jurulatih yang baharu.
“Jadi saya mengharapkan mereka memberikan ruang dan peluang kepada pasukan Perak seandainya ada yang berkualiti. Saya tidak mengatakan pemain saya berkualiti tetapi seandainya ada di mata mereka, saya bersyukur sangat-sangat,” jelas Yusri seperti dikongsikan di TBG TV.
Kata-kata Yusri itu kini menjadi realiti apabila dua pemain dari skuad Perak telah terpilih ke skuad bawah 23 tahun kebangsaan di bawah kendalian Juan Torres Garrido. Dua pemain yang terpilih itu adalah Aiman Yusni dan Firdaus Fuad.
Kedua-dua pemain berusia 21 tahun itu dipanggil Juan Torres Garrido bagi menyertai kem latihan pusat bermula 13 hingga 21 November 2023 sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 yang dijadualkan berlangsung April depan.
Antara nama-nama besar yang turut dipanggil adalah penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin dan pertahanan tengah Terengganu, Ubaidullah Shamsul.