Berita perpindahan pertahanan tengah kebangsaan, Dion Johan Cools ke Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya terjawab apabila pemilik kelab, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan status terkini mengenai pemain itu.
Dalam segmen Nindia Bola di Astro Arena, baginda menjelaskan bahawa tanda harga Dion Cools ketika ini masih berada pada tahap yang tinggi dan JDT belum ada peruntukan yang cukup untuk menandatangai pemain berusia 27 tahun itu.
“Gaji Dion Cools terlalu mahal buat JDT. Buriram bayar terlalu tinggi. Saya tahu apabila dia ingin bermain di Malaysia, saya tak rasa dia ingin bermain dengan pasukan lain.”
TMJ dalam pada itu tidak menolak kemungkinan bahawa Dion bakal berhijrah ke JDT satu hari nanti. Pemilik JDT itu yakin Dion Cools tidak akan ke pasukan lain di Liga Malaysia selain JDT.
“Hubungan kami baik, dia tahu tentang projek, infrastruktur dan agenda JDT. Suatu hari nanti Cools pasti akan jadi pemain JDT,” ujar TMJ.
Sejak perpindahan Cools ke Liga Thailand, beliau telah menikmati musim indah di Buriram United apabila baru-baru ini beliau telah membantu Buriram meraih gelaran ‘treble’ musim lalu.
Pemain kacukan Malaysia/Belgium ini juga menjadi watak penting buat skuad kendalian Matasada Ishii apabila kudratnya sering ditagih dan menjadi pilihan pengendali untuk turun dalam kesebelasan utama pasukan.