Pemain FC Ural, Bertrand Fourrier memberikan bayangan positif mengenai hasratnya untuk mewakili Harimau Malaya apabila dilaporkan sudah berkomunikasi dengan ketua jurulatih baharu negara, Bojan Hodak.
Perkembangan itu dikongsikan oleh wartawan Indonesia yang berpangkalan di Rusia, Arya Pradana Budiarto menerusi satu hantaran di platform X pada Jumaat.
Menurut Arya, Fourrier menyatakan kegembiraannya terhadap pelantikan Hodak sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan Malaysia yang diumumkan secara rasmi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 24 November lalu.
Pemain berusia 29 tahun itu turut memberikan penghormatan kepada Hodak dengan mengambil kira pengalaman serta rekod pencapaian yang dimiliki pengendali kelahiran Croatia tersebut sepanjang karier kejurulatihannya.
“Sudah tentu, saya memberikan penghormatan yang tinggi kepada Bojan Hodak. Beliau merupakan jurulatih yang hebat.
“Rekod pencapaian beliau juga sangat cemerlang. Beliau telah memenangi banyak trofi dan namanya sendiri sudah cukup membuktikan kemampuan yang dimilikinya,” katanya.
Lebih menarik, Arya turut melaporkan bahawa Fourrier sudah berkomunikasi dengan Hodak bagi menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya diberi peluang.
“Bertrand Fourrier, pemain FC Ural yang bakal membela pasukan kebangsaan Malaysia, menyatakan kegembiraannya terhadap pelantikan Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
“Dia juga sudah berkomunikasi dengan Bojan Hodak untuk menyatakan kesediaannya beraksi bersama pasukan kebangsaan Malaysia serta membantu negara layak ke Piala Dunia 2030,” lapor Arya Pradana Budiarto.
Malah, pemain itu turut memasang impian untuk membantu Malaysia mencapai sasaran lebih besar di pentas antarabangsa dengan memburu kelayakan ke Piala Dunia 2030.
Untuk rekod, Fourrier sebelum ini turut dikaitkan dengan peluang mewakili Malaysia menerusi proses naturalisasi selepas mempunyai latar belakang pernah menetap di negara ini ketika zaman kanak-kanaknya.
Bagaimanapun, status kelayakan serta perkembangan proses dokumentasi pemain FC Ural itu untuk mewakili Harimau Malaya masih perlu diperjelaskan sebelum sebarang pengesahan rasmi dapat dibuat.


