Kelab Thailand, BG Pathum United terpaksa menelan kepahitan apabila menjadi pasukan pertama tersingkir daripada saingan ACL musim 2023-2024.
Mereka tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas 4-2 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi keempat Kumpulan I semalam.
Selepas tewas dalam semua perlawanan Kumpulan I setakat ini, peluang The Rabbits layak ke pusingan 16 terbaik ACL tertutup sama sekali.
Ini menjadikan baki dua perlawanan iaitu menentang Ulsan Hyundai dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 28 November dan 12 Disember ini sebagai medan menebus maruah.
BG Pathum bukan satu-satunya pasukan yang tersingkir awal daripada saingan ACL kali ini.
Satu lagi wakil ASEAN dalam ACL iaitu Kaya FC Iloilo turut mengalami nasib sama selepas tewas 2-1 kepada kelab Jepun, Yokohama F. Marinos.
Selain BG Pathum dan Kaya FC, AGMK (Uzbekistan), Nassaji (Iran) dan Mumbai City (India) turut tersingkir awal daripada ACL.
Kini, perjuangan wakil ASEAN untuk layak ke pusingan kejohanan yang seterusnya digalas JDT, Buriram United, Hanoi FC, Lion City Sailors dan Bangkok United.