Jaguh Muay Thai muda negara, Johan Ghazali tidak berminat melayan cabaran individu yang mahu melawannya di atas gelanggang.
Jawapan itu diberi kepada saluran televisyen TVS baru-baru ini selepas timbul video seorang individu misteri mencabarnya beradu di gelanggang tular di media sosial.
Johan yang mesra dikenali sebagai Jojo melihat perkara ini sebagai satu perkara biasa yang berlaku bila nama mula dikenali di khalayak awam.
Pada masa sama, beliau tidak mempedulikan cabaran tersebut kerana ia satu perkara yang membuang masa dan tidak memberi manfaat kepada sesiapa.
“Sebenarnya, Johan tak kisah sangat pun sebab pada asasnya, benda macam ini kerap berlaku. Kita di atas ini, ramai orang nak lihat kita jatuh.
“Jadi, orang-orang macam ini kita takkan layan sebab buang masa. Kalau kita tengok video itu, orang itu pun macam tak betul. Biarkan sajalah,” katanya.
Nama jaguh Muay Thai berusia 17 tahun itu mula dikenali selepas berjaya mengalahkan juara dunia WBC dari Mexico, Edgar Tabares dalam ONE Fight Night 17 di Bangkok, Thailand pada Disember tahun lalu.
Johan kini fokus untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Peperiksaan tersebut bakal berlangsung dari 30 Januari hingga 7 Mac 2024.