Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka akan memantapkan skuad sedia ada dengan beberapa muka baharu seawal bulan Jun ini.
Perkara ini telah pun disuarakan oleh pemilik kelab JDT, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkenaan perkara ini.
Menerusi satu perkongsian di laman Twitter baginda, TMJ memaklumkan bahawa terdapat beberapa perancangan yang bakal berjalan seawal bulan Jun ini termasuklah usaha membawa masuk muka baharu.
Baginda mengesahkan bahawa ada usaha untuk memperbaiki kualiti pasukan antaranya dengan meningkatkan nilai komersial kelab.
TMJ memberi respon terhadap keraian di bandar Naple dengan berharap agar suatu hari nanti satu negeri Johor mampu meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan dengan bunga api.
Perkara ini bagaimanapun masih memerlukan perjalanan yang panjang dengan pelbagai persediaan rapi perlu diatur.
Oleh yang demikian, baginda memberi bayangan akan ada perancangan besar menanti pasukan selepas ini.
“Meningkatkan nilai komersial kelab dan skuad pada Jun. Memperbaiki dan menandatangani perjanjian baharu dengan Nike dalam masa terdekat.”
“Perancangan rapi di hadapan,” jelas baginda dalam ciapan tersebut.
Sebelum ini, JDT telah pun dikaitkan dengan perpindahan seorang nama besar iaitu bintang Colombia, Radamel Falcao.
Pemain berusia 37 tahun ini juga merupakan individu yang dikaitkan untuk menyertai skuad Harimau Selatan tatkala JDT masih berbaki satu slot untuk kuota pemain import.