Penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berpeluang melihat salah seorang daripada bintang mereka beraksi di Piala Asia 2023.
Ini selepas nama pemain tengah Bahrain, Moses Atede tersenarai dalam pasukan dari Asia Barat itu yang akan menggalas cabaran di Piala Asia 2023.
Atede merupakan tiga bintang Bahrain yang beraksi di luar negara yang mendapat panggilan jurulatih Sepanyol, Juan Antonio Pizzi.
Selain beliau, penyerang kelab Ajman (Emiriah Arab Bersatu(UAE)), Ali Maddan dan penyerang Mlada Boleslav (Republik Czech), Abdulla Yusuf Helal turut dipanggil memperkuat The Reds.
Penjaga gol veteran, Sayed Mohammed Jaffer diberi amanah mengetuai skuad kebangsaan Bahrain.
Penjaga gol berusia 38 tahun itu merupakan pemain paling berpengalaman dalam kalangan pemain Al-Ahmar dengan 145 perlawanan.
Bahrain berharap dapat mengulangi pencapaian layak ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas melakukannya pada edisi 2019.
Sebagai rangka persiapan The Reds untuk Piala Asia 2023, mereka bakal menentang Australia pada 6 Januari ini sebagai aksi pemanas badan pra-kejohanan.
Mereka kemudiannya membuka kempen Piala Asia 2023 dalam Kumpulan E dengan menentang Korea Selatan pada 15 Januari di Stadium Jassim bin Hamad, Al-Rayyan, Qatar.