Bintang muda Arsenal, Max Dowman mengikut jejak langkah legenda England dan Manchester United, Wayne Rooney.
Dua gol yang dijaringkan beliau dalam aksi terbaru Carabao Cup menentang Ipswich Town bukan saja membantu Arsenal meraih kemenangan 4-2 dan mara ke pusingan seterusnya.
Malah, Dowman menjadi pemain kedua berusia 16 tahun yang menjaringkan gol buat mana-mana kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam mana-mana kejohanan selepas Rooney.
Rooney melakukannya pada usia sama ketika memulakan karier bersama kelab Merseyside, Everton. Beliau melakukannya dalam saingan sama ketika menentang Wrexham pada 2002.
Selepas diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama oleh Mikel Arteta pada musim lalu, Dowman sudah mencipta beberapa rekod. Antaranya pemain termuda membuat penampilan dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan pemenang EPL termuda.
Lebih menarik, semua ini dicapai ketika beliau fokus untuk menghadapi peperiksaan GCSE di Brentwood School. Dowman kemudiannya meninggalkan sekolah untuk memberi fokus kepada karier bola sepaknya.
Meskipun begitu, Arteta memilih mengambil pendekatan berhati-hati demi memastikan pemain muda itu meneruskan kemajuan positif dalam dunia bola sepak.
“Dia berusia 16 tahun dan kami perlu sangat berhati-hati,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
“Kami tidak mahu menghalangnya atau memperlahankan perkembangannya; kami perlu membangunkannya dan kami benar-benar faham apa yang diperlukannya. Beliau akan mendapat peluang.”