Bintang Muda Sepanyol-Colombia Terima Tawaran Dari JDT?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan menghantar tawaran bagi merekrut bintang muda kacukan Sepanyol-Colombia.

Pada Selasa, timbul khabar angin mengaitkan pasukan juara Liga Super 11 kali , JDT yang dikatakan mahu mendapatkan khidmat pemain sayap berdarah Sepanyol-Colombia, Ardaitz Villorejo.

Khabar angin ini timbul selepas wartawan terkenal Argentina, Cesar Mosquero melaporkan bahawa JDT telah menghantar tawaran rasmi kepada Ardaitz Villorejo yang beraksi untuk SD Eibar Bawah 19.

”Ardaitz Villorejo telah menerima tawaran rasmi daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Malaysia,” lapor Cesar Mosquero.

Sungguhpun begitu, bakat hebat Villorejo turut dipantau oleh beberapa kelab selain JDT terutamanya di Sepanyol selepas pemain berusia 19 tahun ini tak akan bersama Eibar lagi pada musim hadapan.

“Selain itu, pemain Colombia itu turut dipantau oleh dua kelab dari divisyen Segunda RFEF (divisyen keempat Sepanyol).”

“Beliau tidak akan meneruskan aksi bersama Eibar musim ini dan beberapa kelab turut melihat beliau sebagai pilihan yang berpotensi,” tambah wartawan tersebut di laman X.

Ardaitz Villarejo adalah pemain berbakat kelahiran Sepanyol dan memiliki kelayakan untuk mewakili Colombia hasil susur galur sebelah ibu beliau dari negara Amerika Selatan itu.

Sehingga kini masih tiada lagi pengesahan rasmi mengenai perpindahan Villarejo oleh JDT ketika mana pasukan itu sudah pun memulakan sesi latihan bagi musim akan datang.

Dalam perkembangan sama, JDT selaku juara bertahan Liga Super telah mengumumkan perpisahan bersama 11 pemain antaranya Safiq Rahim, Farizal Marlias, Jese Rodriguez dan lain-lain.