Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner tidak berpuas hati dengan barisan benteng pertahanan pasukannya ketika aksi separuh akhir kedua pada Sabtu.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ itu, Safuwan Baharudin muncul wira Selangor dengan hatrik hasil dua tandukan dan voli pada minit ketiga, keenam dan ke-52.
Manakala, gol tunggal Terengganu disumbangkan oleh Ismaheel Akinade namun jaringan tersebut tidak berjaya menafikan kemenangan Gergasi Merah dengan keputusan 4-1.
Steinbruckner yang ditemui selepas perlawanan berkata, Selangor layak untuk muncul pemenang dalam aksi kali ini setelah sukar untuk berdepan lawan yang mendahului di awal permainan.
”Tahniah kepada Selangor, mereka sememangnya layak untuk mara ke final. Agak sukar untuk bermain dengan dibolosi di minit awal permainan,” ujar beliau di sidang media.
Menurut beliau, kelemahan barisan pertahanan dalam tiga aksi terakhir jelas mengecewakannya apabila melihat ointu gol pasukannya dibolosi sepuluh jaringan sebelum ini.
“Tiada apa yang boleh saya komen tentang aksi pada hari ini, tetapi barisan pertahanan, jika kita lihat kita dibolosi 10 gol dalam 3 perlawanan.”
“Empat gol berdepan JDT, dua gol menentang Negeri Sembilan dan empat gol lagi hari ini. Ini sangat melampau,” ujat pengendali kelahiran Croatia.
Keputusan di Kelana Jaya ini menyaksikan Selangor mara ke perlawanan akhir dengan agregat 6-4 setelah kecewa tumpas 2-3 di Gong Badak dalam aksi pertama lalu.
Kemenangan ini membawa Selangor mara ke pentas akhir Piala FA yang dijadualkan pada 24 Ogos dan akan bertemu pemenang di antara Johor Darul Ta’zim atau Kedah.