Pasukan bola sepak bawah 23 tahu negara di bawah kendalian Brad Maloney akan ke Vietnam untuk Sukan Sea Hanoi yang bermula 6 Mei depan. Sebelum ke sana, pasukan ini bakal diuji dengan beberapa perlawanan persahabatan.
Maloney berkata, beberapa pasukan luar negara akan ditentang anak buahnya sebagai persediaan untuk ke temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.
Walaubagaimanapun, segalanya tertakluk kepada persetujuan negara-negara tersebut memandangkan perlawanan persehabatan yang dirancang itu berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Setakat ini kita merancang memanggil para pemain untuk menyertai kem latihan kebangsaan pada April dua atau tiga minggu sebelum kejohanan. Dalam tempoh tersebut mungkin kami akan adakan dua atau tiga perlawanan persahabatan.
“Keutamaan kami ketika ini adalah untuk mengadakan perlawanan menentang pasukan luar. Jadi kini kami sedang mencari beberapa pasukan untuk datang bermain menentang pasukan kita.
“Sebab ia bukan senang untuk mencari pasukan memandangkan ia luar daripada kalendar FIFA. Bagaimanapun kami akan cuba yang terbaik untuk merealisasikannya,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar baru-baru ini.
Maloney juga menjawab mengenai pertindihan jadual kejohanan Piala Asia B-23 dan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun nanti. Maloney akui perbincangan bersama pengendali skuad senior, Kim Pan-gon berjalan dengan baik.
Selain itu, Maloney ‘rela mengalah’ dengan melepaskan pemain-pemain bawah 23 tahun kendalian beliau untuk beraksi bersama pasukan senior kerana bagi beliau, panggilan pasukan senior lebih penting dalam usaha layak ke Piala Asia.
“Saya sudah berbincang mengenai perkara ini bersama Pan-gon. Kami akan bertemu sekali lagi sebelum memuktamadkan perkara tersebut.
“Tapi, saya akan lebih mengutamakan pemain-pemain saya untuk ke pasukan senior kerana ia lebih penting kerana mereka ada misi yang lebih besar,” katanya.