Perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang menemukan Malaysia dan Thailand semalam telah menyaksikan keputusan berpihak kepada Malaysia yang berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0.
Dalam perlawanan malam tadi, barisan pemain negara wajar diberikan pujian selepas mempamerkan disiplin bertahan yang luar biasa dengan berjaya mematahkan gerak serangan pasukan Thailand yang dilihat menguasai hampir keseluruhan permainan.
Namun selepas tamat perlawanan, ada satu insiden lucu yang melibatkan kapten pasukan Malaysia, Safawi Rasid. Telah tular satu video di laman Twitter yang memperlihatkan Safawi cuba memberikan kasut bola yang dipakainya kepada peminat yang hadir.
Namun ianya berakhir dengan kurang baik apabila balingan kasut bola yang dibuat Safawi ke arah penyokong, tidak berjaya ditangkap kemas penyokong dan jatuh ke bahagian parit stadium. Kasut kanan dan kiri, kedua-duanya berakhir di parit.
Mungkin belum rezeki penyokong untuk mendapatkan kasut bola kapten pasukan Harimau Malaya. Safawi dijangka akan terus dipertaruhkan Kim Pan-gon dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Bangkok pada 10 Januari ini.