Malaysia bakal bertembur di medan terbaik bola sepak Asia awal tahun hadapan dengan kejohanan Piala Asia bakal membuka tirainya.
Perkara ini semakin meraih tumpuan semua penyokong bola sepak tanah air apabila undian kejohanan tersebut bakal dilangsungkan pada 11 Mei.
Malaysia yang sudah 43 tahun tidak layak ke Piala Asia secara merit sudah tentu mahu melakukan yang terbaik dengan prestasi semasa skuad Harimau Malaya juga amat memberangsangkan.
Dua kemenangan dalam aksi persahabatan bulan Mac lalu berdepan Hong Kong dan Turkmenistan membuktikan Malaysia kini serisu mempersiapkan pasukan.
Namun begitu, cabaran hebat menanti anak buah Kim Pan-gon yang bakal diundi bersama pasukan dari 4 pot yang berlainan.
Pot 1 menyaksikan pasukan-pasukan yang beraksi di Piala Dunia tahun lalu menjadi lawan yang maha dahsyat buat pasukan negara.
Pasukan seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan tuan rumah , Qatar memiliki pengalaman yang cukup besar termasuklah kejutan yang dilakukan oleh Arab Saudi ketika menewaskan juara Piala Dunia, Argentina di peringkat kumpulan.
Pasukan dalam pot 2 menyaksikan nama-nama seperti Iraq, UAE, Oman dan China yang masing-masing berada dalam kedudukan 100 terbaik dunia juga tidak kurang hebatnya.
Cabaran pasukan seperti Bahrain, Syria dan juga jaguh Asia Tenggara, Vietnam yang berada dalam Pot 3 dijangka merupakan cabaran terbaik buat Malaysia untuk terus membuktikan kemampuan sebenar.
Malaysia juga bakal berdepan Kepulauan Solomon dan Yemen bagi aksi persahabatan bulan Jun nanti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai salah satu medan persiapan ke Piala Asia.
Harimau Malaya kini berada pada kedudukan ke-138 dunia sudah tentu mahu memberikan segalanya termasuklah usaha memperbaiki kedudukan ranking dunia menjelang tahun hadapan.