CD América ‘Lepaskan’ Penyerang Baharu Harimau Malaya?
MakanBola
America de Cali

Kelab Colombia, CD América tidak menyenaraikan potensi penyerang baharu Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dalam skuad semasa.

Pasukan yang menghuni tangga teratas Primera A, Apetura 2025 itu cemerlang mengumpul 39 mata selepas 20 perlawanan dan diikuti rapat oleh pasukan tangga kedua, Millonarios.

Penyerang berusia 29 tahun itu bagaimanapun tidak berada dalam skuad CD America ketika mencatatkan kemenangan Independiente Medellin dengan keputusan 2-0.

Hal ini menimbulkan tanda tanya susulan Holgado merupakan sandaran utama pasukan dan telah beraksi dalam 20 perlawanan secara keseluruhan pada musim ini.

Baru-baru ini, tular beberapa laporan daripada Eropah berhubung Rodrigo Holgado yang dikatakan telah menerima panggilan pasukan kebangsaan Malaysia menjelang aksi kedua Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027.

“Skuad kebangsaan Malaysia memiliki Rodrigo Holgado dalam kalangan pemain pasukan itu. Maklumat berkenaan pasport beliau masih belum selesai tetapi mereka menyelesaikan perkara itu dari Asia.

“America de Cali sudah diberitahu tentang perkara itu dan menunggu maklumat selanjutnya. (Holgado) bakal menempuh perjalanan yang panjang jika semua perkara disahkan,” katanya di X.

Persiapan kem Harimau Malaya kini memasuki Fasa 2 dengan 8 orang lagi pemain telah menyertai kem pasukan kebangsaan bermula 25 Mei lalu di Johor Bahru.

Beliau dijangka menuju ke Malaysia untuk menyertai persiapan pasukan kebangsaan menjelang aksi penting berdepan The Golden Tiger.

Malaysia akan melayan kunjungan jaguh Asia Tenggara, Vietnam bagi aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun ini.