Cerita Harimau Malaya kini mula mendapat liputan meluas media terkemuka dunia.
Skuad kendalian Peter Cklamovski merekodkan pencapaian cemerlang selepas menundukkan jaguh Asia Tenggara, Vietnam dengan keputusan 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kemenangan bermakna Malaysia itu dibantu dengan kehadiran 5 tonggak warisan baharu buat Malaysia iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan juga Joao Figueiredo.
Kejayaan bermakna pasukan negara mendapat liputan meluas daripada media antarabangsa yang melihat prestasi memberangsangkan skuad Harimau Malaya.
Salah sebuah media terkemuka iaitu Sports Center ESPN yang memiliki pengikut sekitar 4.5 Juta di laman X memuji prestasi Holgado dan Harimau Malaya ketika aksi di Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.
“Debut dan gol untuk Rodrigo Holgado bersama Malaysia. Beliau menjaringkan gol pada kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027.
“Pemain yang dilahirkan di La Tablada, pemain América de Cali adalah rakan sepasukan Angelito Correa dalam pasukan remaja San Lorenzo,” ujar media tersebut.
Salah sebuah media lain seperti TNT Sports Chile yang memiliki pengikut hampir 1 Juta juga bercerita tentang impak Holgado pada perlawanan tersebut.
“Rodrigo Holgado, seorang penyerang terkemuka menjaringkan gol pertamanya dalam perlawanan pertamanya dengan pasukan kebangsaan Malaysia, dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada pusingan ketiga Kelayakan Asia.
“Penyerang itu mewakili negara Malaysia kerana neneknya mempunyai keturunan dari negara itu,” ujarnya di laman X.