Cerita Ibrahim Manusi Yang Ramai Tidak Tahu Sebelum Sertai JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Nama Ibrahim Manusi kini menjadi sebutan selepas pemain muda itu menyertai juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT). Namun di sebalik sorotan yang diterimanya kini, tidak ramai yang mengetahui susah payah serta cabaran hebat yang dilaluinya sebelum melangkah ke kelab gergasi tanah air itu.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2025 antara JDT dan Sri Pahang menjadi pentas utama yang menaikkan nama Ibrahim. Meskipun Sri Pahang tewas tipis, Ibrahim tampil sebagai wira tidak didendang dengan disiplin bertahan memukau dan keberanian dalam menyerap tekanan dari jentera serangan JDT.

Aksi meyakinkan itu bukanlah hadir secara tiba-tiba. Menerusi satu perkongsian daripada Sinija Media, Ibrahim menerima tawaran ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) ketika berada di Tingkatan Lima dan perlu bersaing dengan pemain-pemain lain yang tidak kurang hebatnya seperti Mukhairi Ajmal.

Dalam usaha mencari peluang, Ibrahim juga pernah mencuba nasib di beberapa pasukan liga sosial. Biarpun tanpa kemudahan mahupun prasarana latihan yang baik, beliau tetap bertahan demi mengejar impian sebelum bakatnya dikesan Sri Pahang FC yang mengambilnya untuk diserap ke dalam skuad Piala Presiden.

Di situlah titik perubahan berlaku. Ibrahim muncul sebagai pemain utama dalam perjalanan pasukan menjadi Naib Juara Piala Presiden 2022.

Sejak itu, beliau terus diberi kepercayaan untuk menyarung jersi pasukan utama Sri Pahang dalam saingan Liga Super. Walaupun tidak selalu menjadi tumpuan media, peranan penting Ibrahim di bahagian tengah jelas menjadi antara kunci kestabilan pasukan Tok Gajah.

Kini, menyertai JDT bukan hanya satu penghormatan buat Ibrahim malah ia juga satu pengiktirafan terhadap ketekunan dan profesionalisma yang dibinanya sejak dari SSTMI lagi. Dengan sistem latihan dan fasiliti yang serba moden milik JDT, beliau dijangka mampu berkembang menjadi pemain tengah bertahan berkelas tinggi.

Kisah Ibrahim Manusi mengajar kita bahawa perjalanan berliku bukan penghalang kepada kejayaan. Semangat luar biasa, keazaman tinggi dan usaha berterusan adalah resipi kejayaan sebenar.