Skuad Sabah FC menerima suntikan motivasi menjelang final kedua MFL Challenge Cup.
Portal Sabah Media melaporkan anak buah Juan Torres Garrido bakal menerima bonus sekiranya berjaya bergelar juara kejohanan itu.
Perkara ini dinyatakan Menteri Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Nizam melihat insentif bonus ini sebagai perangsang semangat buat skuad Sang Badak untuk mengakhiri kemarau trofi pasukan itu sejak 2019.
“Bonus kemenangan akan diberikan sebagai penghargaan kepada pemain sekiranya berjaya menjuarai final edisi 2026 ini,” katanya.
Nizam turut memaklumkan kerajaan negeri Sabah bakal mengagihkan 2,000 tiket percuma buat para penyokong bermula 18 April ini.
Agihan tiket itu akan diuruskan pihak urus setia di pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS). Maklumat lanjut berkaitan masa dan lokasi agihan tiket pula akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Ini adalah usaha kementerian bagi menyemarakkan sokongan kepada Sabah FC selain menjadi suntikan semangat kepada pemain menjelang perlawanan akhir,” ujarnya.
Sabah bakal berentap dengan Penang FC untuk merebut trofi MFL Challenge Cup di Stadium Likas pada 19 April. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi final pertama pada 4 April lalu.