Penyerang Sabah FC, Fergus Tierney mahu melunaskan misi peribadi menjelang final kedua MFL Challenge Cup.
Sebelum ini, Tierney terlepas final pertama kejohanan antara Penang FC dan Sabah pada 4 April lalu di Stadium Bandaraya.
Ini kerana penyerang skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu perlu menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.
Atas sebab itu, Tierney berharap dapat beraksi dalam aksi final kedua dan membantu Sabah menjulang trofi berkenaan.
“Memang kali ini saya teruja untuk kembali diturunkan sebab tempoh hari (final pertama) saya hanya mampu melihat daripada kerusi penonton sahaja.
“Saya harap saya dapat bantu pasukan ini sebaik mungkin dan tidak akan mensia-siakan sebarang peluang di depan mata.
“Kita semua pun memang sentiasa fokus untuk aksi final ini dan harapan saya adalah semua penyokong Sabah akan turun ramai-ramai berikan motivasi tambahan kepada kami,” katanya.
Meskipun sedar Penang bukan lawan mudah, Tierney percaya pasukan itu berada pada tahap terbaik untuk aksi final kedua.
Ini ditambah dengan momentum mengikat Selangor FC 1-1 dalam aksi terbaru Liga Super pada 11 April lalu.
“Penang FC semakin hari semakin tunjuk belang dengan kekuatan mereka, jadi kita tidak boleh mengalah dan perlu berada di tahap terbaik untuk dapat keputusan yang kita nak.
“Apa pun, selepas kita pulang dengan satu mata menentang Selangor minggu lalu, ia seakan jadi motivasi kepada kami untuk teruskan momentum seperti ini di final,” ujarnya.
Sabah akan berdepan Penang dalam aksi final kedua di Stadium Likas pada 19 April. Sang Badak turut menerima suntikan semangat di mana mereka akan menerima bonus jika bergelar juara.