Advertisement
Challenge Cup: Kedah Tempah Slot Separuh Akhir, Atasi KL Rovers
Piala Cabaran
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menempah slot separuh akhir MFL Challenge Cup dengan menewaskan KL Rovers dalam aksi suku akhir kedua.

Sang Kenari memiliki bekalan tiga gol selepas menewaskan naib juara Liga A1 Semi-Pro 2023 itu pada 13 Disember lalu. KL Rovers pula perlu menjaringkan sekurang-kurangnya empat gol untuk mengatasi kelebihan agregat Kedah.

Milos Gordic menjadi sandaran gol pengendali Kedah, Victor Andrag. Gandingan Sharul Amin Nasharuddin dan Faizal Hafiq Omar terus mendapat kepercayaan pengendali KL Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Faizal Hafiq hampir meletakkan KL Rovers di hadapan pada minit ke-12. Malangnya, percubaan penyerang berusia 24 tahun itu tidak menepati sasaran.

Kedah terpaksa melakukan pertukaran awal pada minit ke-28 dengan memasukkan penjaring terbanyak Kedah B, Afeeq Iqmal Rosli. Afeeq menggantikan Sukhrob Nurulloev yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Bekas bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Amer Saidin hampir memecah kebuntuan buat tuan rumah pada minit ke-39. Walau bagaimanapun, rembatan lencongnya berjaya ditangkap penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Tatkala perlawanan seakan terikat tanpa jaringan menuju rehat separuh masa, Hasbullah Abu Bakar menceriakan kem pelawat dengan gol dari luar kotak penalti pada minit ke-45.

Bersambung pada babak kedua, Kedah semakin bersemangat memburu gol tambahan.

Afeeq hampir menggandakan kelebihan Sang Kenari pada minit ke-50 selepas mengatasi penjaga gol KL Rovers, Asyraaf Omar. Malangnya, percubaan penyerang berusia 25 tahun itu hanya mengenai bahagian tepi gawang.

Victor memasukkan Heshamuddin Ahmad dan Abdul Halim Saari pada minit ke-59 bagi menambah kemantapan barisan Sang Kenari.

Gol kedua yang dicari Kedah akhirnya muncul pada minit ke-75 menerusi Aiman Afif Azizul. Situasi ini menyaksikan Kedah mendahului dengan kelebihan agregat 5-0.

Sang Kenari menambah gol ketiga menerusi Amirul Hisyam Awang Kechik pada minit akhir perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Kedah bertemu dengan PDRM FC di peringkat separuh akhir.

PDRM berjaya mara selepas menyingkirkan Melaka FC 4-3 secara agregat pada 21 Disember lalu.

Kedah bakal menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) untuk aksi liga seterusnya pada 10 Januari 2025. KL Rovers pula akan menentang Gombak FC untuk aksi terbaru Liga A1 Semi-Pro pada 30 Disember ini.