Advertising
Challenge Cup: Kedah Tumpaskan KL Rovers
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meraih kemenangan berharga dalam aksi suku akhir pertama MFL Challenge Cup dengan menewaskan KL Rovers FC.

Selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dilihat peluang terbaik buat Sang Kenari untuk meraih trofi musim 2024/25. KL Rovers pula berharap dapat mencipta kejutan ke atas Kedah di Stadium Darul Aman.

Ebenezer Assifuah terus menjadi pilihan jurulatih Kedah, Victor Andrag untuk merobek gawang KL Rovers. Sharul Amin Nasharuddin dan Faizal Hafiq Omar pula ditagih sebagai sandaran gol pelawat.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Kedah berusaha mencari kelebihan gol awal di Stadium Darul Aman.

Situasi ini memaksa barisan pertahanan KL Rovers diketuai kapten, Firdaus Mohd Faudzi bekerja keras menangkis setiap ancaman tuan rumah.

Ad
Ad

Kedah hampir mendahului pada minit ke-21 apabila pertahanan KL Rovers tertanduk sepakan percuma Sukhrob Nurulloev ke tiang gol mereka. Percubaan susulan Jose Cleylton langsung tidak mengenai sasaran.

Ad

Kesungguhan Sang Kenari memburu gol akhirnya membuahkan hasil menerusi Cleylton pada minit ke-40. Tandukan bek tengah Brazil itu menewaskan penjaga gol KL Rovers, Asyraaf Omar.

Kedah terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan pelawat tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, cuaca hujan di Stadium Darul Aman tidak menggugat kerancakan Sang Kenari memburu gol tambahan.

Aiman Afif Md Afizul hampir menggandakan kelebihan Kedah pada minit ke-53. Malangnya, tandukan penyerang berusia 23 tahun itu berjaya ditepis Asyraaf.

Tiga minit kemudian, giliran Nurulloev pula mencemaskan gawang KL Rovers. Pemain sayap Uzbekistan itu hampa kerana percubaannya sekadar mengenai tiang gawang pelawat.

Gol kedua yang dicari Sang Kenari akhirnya tiba pada minit ke-64 menerusi Aiman Afif. Keadaan ini meletakkan Kedah 2-0 di hadapan.

KL Rovers hampir merapatkan jurang menerusi Sharul Amin tiga minit selepas itu. Meskipun gawang Kedah sudah terbuka, percubaannya sekadar mengenai bahagian tepi gol.

Assifuah memastikan kedudukan Kedah makin selesa dengan menyudahkan hantaran Fayadh Zulkifli pada minit ke-77. Ini gol kelima beliau untuk musim 2024/25.

Kedah terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Kedah memiliki bekalan tiga gol untuk aksi suku akhir kedua pada 22 Disember.

Selepas ini, Sang Kenari bakal berdepan Penang FC untuk aksi Liga Super pada 18 Disember. KL Rovers pula bersiap sedia untuk aksi Liga A1 Semi-Pro menentang Imigresen FC pada 26 Disember.