Challenge Cup: Penang Hampiri Final, Jinakkan Kelantan TRW
MakanBola
PENANG FC

Penang FC menundukkan pasukan Kelantan TRW dengan keputusan 5-2 dalam aksi separuh akhir pertama saingan MFL Challenge Cup di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Selasa.

Kelantan The Real Warrior menurunkan Azfar Arif Sukri di benteng terakhir dengan Azam Azih menggalas lilitan kapten manakala Enzo Celestine mengemudi jentera serangan kelab tersebut.

Penang FC pula membariskan Ramdhan Hamid di posisi penjaga gol dan gandingan berbisa Douglas Coutinho & Oj Porteria menjadi ayam tambatan Harimau Kumbang.

Penang FC dilihat menguasai awal babak pertama aksi dengan meledak 3 gol dalam tempoh 15 minit.

Stefano Brundo membuka jaringan buat Harimau Kumbang seawal minit kedua perlawanan, sebelum Douglas Coutinho menggandakan kelebihan Penang FC empat minit kemudian.

Penang FC terus mengasak apabila pemain import dari Filipina, Oj Porteria, menambah gol ketiga pada minit ke-15 dengan menewaskan benteng pertahanan Kelantan TRW.

Kelantan TRW bagaimanapun tidak berputus asa apabila Azwan Aripin berjaya menjaringkan gol pertama pasukan itu pada minit ke-22, sekali gus menyuntik semangat kebangkitan kepada rakan sepasukan.

Menjelang penghujung babak pertama, Farris Izdiham pula mencetak gol kedua buat Kelantan TRW untuk merapatkan jurang jaringan kepada hanya satu gol.

Babak pertama berakhir dengan keputusan 3-2 memihak kepada Harimau Kumbang.

Pada separuh masa kedua, Kelantan TRW meningkatkan tempo permainan dengan lebih agresif dalam usaha memburu gol penyamaan.

Beberapa gerakan pantas berjaya dicipta menerusi hantaran silang dan percubaan jarak jauh, namun pertahanan lawan kekal kental mengekang asakan demi asakan.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-67 apabila Kelantan TRW dihadiahkan sepakan penalti selepas berlaku kekasaran di dalam kotak penalti.

Namun begitu, sepakan yang diambil oleh Albert Kang gagal disempurnakan, sekali gus menyaksikan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan terlepas begitu sahaja.

Shamie Iszuan melengkapkan malam gemilang Harimau Kumbang dengan merobek gawang Kelantan TRW buat kali keempat pada minit ke-85.

Dylan Wenzel-Halls menamatkan aksi dengan meledak gol kelima buat pasukan Penang FC pada masa kecederaan separuh masa kedua hasil sepakan penalti.

Aksi tamat dengan keputusan 2-5 memihak kepada pasukan pelawat, Penang FC.