Penang FC berharap pemain sayap Australia, Dylan Wenzel-Halls kembali pulih menjelang aksi final kedua MFL Challenge Cup.
Harapan itu dizahirkan jurulatih Sang Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail apabila ditanya tentang status bekas pemain sayap Central Coast Mariners (CCM) itu.
Wenzel-Halls dilaporkan mengalami sedikit kecederaan dalam aksi Liga Super menentang Imigresen FC baru-baru ini.
Wan Rohaimi memaklumkan beliau kini menunggu laporan akhir unit perubatan berhubung status kecergasan Wenzel-Halls.
Sekiranya semuanya berjalan lancar, khidmat pemain berusia 28 tahun itu bakal ditagih dalam kesebelasan utama Penang.
“Alhamdulillah, persiapan kita berjalan lancar. Cuma kita sedikit terganggu dengan masalah kecederaan Dylan Wenzel-Halls.
“Saya masih menunggu laporan terakhir unit perubatan tentang kecergasan. Saya yakin dia bersedia untuk perlawanan esok,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Khidmat Wenzel-Halls cukup ditagih Penang kerana beliau sudah merekodkan 13 gol dan tujuh bantuan gol dalam semua kejohanan musim ini.
Penang akan menentang Sabah FC untuk aksi final kedua MFL Challenge Cup pada 19 April ini. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas aksi final pertama pada 4 April lalu.