Perak FA berjaya menewaskan UM-Damansara dengan keputusan 0-1 dalam perlawanan suku akhir pertama saingan MFL Challenge Cup musim 2025/26 yang berlangsung di UM Arena, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
UM-Damansara menurunkan Haziq Mukriz di bahagian penjaga gol dengan Khair Jones menggalas lilitan kapten manakala Thankgod Michael mengemudi jentera serangan pasukan tersebut.
Sementara itu, Perak FA membariskan Syazwan Syazany di benteng terakhir dan Daniel Hakimi menjadi ayam tambatan kelab tersebut petang ini.
Kedua-dua pasukan tampil garang dengan melancarkan beberapa percubaan ke arah kubu lawan masing-masing pada awal minit perlawanan.
UM-Damansara dilihat tidak berdepan masalah untuk menguasai aksi di laman sendiri apabila melancarkan beberapa rembatan berbahaya, namun masih gagal menembusi gawang Perak FA.
Memasuki minit ke-30, kedudukan kekal terikat tanpa jaringan apabila kedua-dua pasukan belum menemui sentuhan penyudah.
Perak FA turut mencipta beberapa peluang menerusi Ekene Victor dan Daniel Hakimi, namun percubaan mereka juga gagal menewaskan penjaga gol UM-Damansara.
Aksi separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan antara kedua-dua pasukan.
Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti permainan masing-masing bagi memburu gol pembukaan perlawanan.
Amirul Aiman menjaringkan gol cantik pembukaan perlawanan menerusi tandukan pada minit ke-56, sekali gus menjarakkan jurang agregat.
Thankgod Michael hampir meledak gol pembukaan buat UM-Damansara pada minit ke-70 namun rembatan beliau tersasar dari gawang pasukan Perak FA.
Perak FA kekal berdisiplin sepanjang perlawanan dengan mematahkan setiap percubaan serangan UM-Damansara.
Aksi suku akhir pertama saingan MFL Challenge Cup 2025/26 di UM Arena, Kuala Lumpur tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Perak FA.