Challenge Cup: Sabah Cemas Sebelum Tamatkan Perjalanan PDRM
MakanBola
SABAH FC

Piala Cabaran musim 2025/26 menyaksikan Sabah mengikat PDRM 1-1 dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Selayang pada Ahad.

Keputusan tersebut sekali gus memastikan kemaraan Sang Badak ke pentas separuh akhir Piala Cabaran musim ini dengan agregat 3-1.

Sabah mempertaruhkan Damien Lim sebagai benteng terakhir, sementara Dominic Tan diberi kepercayaan memimpin pasukan selaku kapten. Di jentera serangan, Fergus Tierney menjadi sandaran utama dalam misi memburu jaringan.

PDRM pula menurunkan Hakeem Hamidun untuk mengawal gawang, dengan Park Tae-su menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan. Fakhrul Azim pula diberi peranan penting mengetuai barisan hadapan bagi menggegar pertahanan lawan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan awal di Stadium Selayang.

Pasukan tuan rumah, PDRM, berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi pemain sayap lincah The Cops, Fakhrul Azim, sekali gus merapatkan defisit agregat.

Namun begitu, Sabah kembali melebarkan jurang agregat hanya seminit kemudian apabila penyerang muda sensasi, Fergus Tierney, berjaya menemui sasaran, sekali gus menjarakkan semula kedudukan.

Kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan berbahaya pada penghujung separuh masa kedua namun tiada jaringan tambahan ditemui.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua kelab terus meningkatkan tekanan untuk mendapatkan gol.

Sabah FC hampir menjaringkan gol kedua menerusi satu gerakan berbahaya. Namun begitu, ketangkasan penjaga gol PDRM FC, Hakeem Hamidun, wajar dipuji apabila beliau pantas menyambar bola muntah terlebih dahulu sebelum sempat direbut oleh Kervens Belfort pada minit ke-71.

Sang Badak terus menerus mengasak kubu pasukan tuan rumah, The Cops bagi mencari gol tambahan menerusi Fergus Tierney & Kervens Belfort namun barisan pertahanan PDRM berjaya mematahkan segala bentuk serangan.

Fadi Awad hampir merobek gol buat pasukan PDRM pada penghujung babak kedua namun percubaan beliau tersasar jauh dari gawang Sang Badak.

Aksi tamat dengan keputusan secara agregat 3-1 memihak kepada pasukan pelawat, Sabah FC.